KANGAR – Cubaan lelaki warga Thailand untuk menyeludup 100 kilogram (kg) daun ketum bernilai RM10,000 gagal apabila bot dinaikinya ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Kedah di perairan Kuala Perlis dekat sini hari ini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Pulau Pinang, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, pihaknya dibantu risikan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Kuala Perlis dan Unit Dron Pasukan Gerakan Udara menahan sebuah bot fiber kira-kira pukul 4.30 pagi.
Katanya, serbuan tersebut dibuat hasil maklumat risikan berhubung kegiatan penyeludupan di lokasi berkenaan.
“Setelah memperkenalkan diri sebagai anggota polis, kami meminta lelaki berusia 28 tahun dan berasal dari Satun, Thailand itu untuk menunjukkan dokumen pengenalan diri namun dia gagal berbuat demikian.
“Pemeriksaan lanjut menemui 10 bungkusan plastik hitam mengandungi tumbuhan hijau dipercayai daun ketum yang disyaki cuba diseludup ke Thailand,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. – K! ONLINE