KUALA LUMPUR – Tarif timbal balik baharu terhadap import ke Amerika Syarikat (AS) dikenakan oleh pentadbiran Presiden Donald Trump bukan cabaran pertama kepada multilateralisme.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dasar terbaru AS oleh Trump itu malah bukan cabaran terakhir yang perlu ditempuhi oleh dunia termasuk negara-negara ASEAN.
“Jika ASEAN boleh meneruskan keberaniannya, kekal terbuka, pragmatik dan padu, ASEAN mungkin menjadi antara terakhir dalam dunia yang percaya bahawa bekerjasama mendatangkan kesan lebih baik,” katanya pada Persidangan Pelaburan ASEAN 2025, di ibu negara hari ini.
Trump baru-baru ini mengumumkan tarif timbal balik baharu ke atas import dari seluruh negara sekali gus mencetuskan kejutan ekonomi dan ‘menggegarkan’ pasaran global.
Kerajaan AS di bawah pentadbiran beliau mengenakan tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua barangan import ke AS yang berkuat kuasa 5 April lalu.
Seorang pegawai kanan White House mengesahkan bahawa kira-kira 60 negara digelar ‘pesalah paling teruk’ akan dikenakan tarif timbal balik yang tinggi.
Negara-negara terlibat adalah China sebanyak 34 peratus, Kesatuan Eropah (20 peratus), Thailand (36 peratus), Vietnam (46 peratus), Jepun (24 peratus), Kemboja (49 peratus), Afrika Selatan (30 peratus) dan Taiwan (32 peratus)
Malaysia pula dikenakan tarif timbal balik sebanyak 24 peratus. – KOSMO! ONLINE