BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Chon Buri mengamuk sehingga mencederakan diri sendiri selepas menu pad Thai yang dipesan dari sebuah kedai dicampur dengan daun kucai, lapor laman berita Thaiger semalam.
Polis berkata, lelaki dikenali sebagai Thakorn, 32, naik angin selepas kedai tersebut tidak mengikuti permintaannya agar tidak meletakkan daun kucai ke dalam pad Thai yang dipesan.
Kecewa dengan makanan yang diterima, Thakorn membuang pad Thai tersebut serta enggan membayar menu itu.
Selepas pemilik restoran mendesak bayaran daripadanya, Thakorn marah lalu mengacukan sebilah pisau di dalam premis berkenaan.
Dia bagaimanapun tidak menyerang sesiapa, sebaliknya mencederakan dirinya di bahagian kaki.
Sejurus polis tiba, dia diberi bantuan kecemasan sebelum dibawa ke hospital. – AGENSI