ALOR SETAR – Lebih 1,000 pemandu bas ekspres dalam Persatuan Pemandu Bas Semenanjung Malaysia (PPBSM) kecewa kerana tidak disenaraikan sebagai penerima pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai).
Presidennya, Saadan Man berkata, pihaknya kesal dengan pengagihan bantuan tersebut yang tidak menyeluruh sedangkan pemandu bas ekspres merupakan antara golongan paling terkesan akibat penularan Covid-19.
Katanya, ketika ini terdapat pemandu bas ekspres yang langsung tidak menerima gaji dengan ada antara mereka terpaksa bekerja sebagai buruh di kampung demi mencari rezeki.
“Kami berasa pemandu bas ekspres telah tercicir daripada menerima bantuan tersebut sedangkan pemandu bas persiaran, bas pelancong, bas sekolah, kereta sewa, teksi dan perkhidmatan e-hailing tersenarai sebagai golongan layak.
“Justeru kami amat berharap supaya kerajaan dapat bersikap lebih adil, PPBSM bersedia untuk menghantar senarai maklumat pemandu layak menerima bantuan itu kepada kerajaan,” katanya di sini hari ini.- K! ONLINE