LIVERPOOL – Pengendali Liverpool, Arne Slot mengakui bimbang Mohamed Salah terus kempunan jaringan sekiranya dirantai pertahanan Fulham, Antonee Robinson pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) malam ini.
Menurut Slot, Robinson yang beraksi di posisi bek kiri boleh dianggap sebagai salah seorang pemain pertahanan terbaik liga apabila tampil cukup konsisten buat skuad The Cottagers musim ini.
“Robinson bukan sahaja hebat ketika bertahan, malah dia juga memiliki kualiti ketika melakukan serangan balas pantas. Kita sudah meneliti prestasinya ketika bertemu Arsenal baru-baru ini dan dia memang seorang pemain yang konsisten.
“Pertembungan Robinson dan Salah bakal menarik perhatian kerana jika Robinson terleka, pasti Salah akan menghukum benteng pasukan lawan nanti. Ini adalah cabaran buat Salah untuk menamatkan kemarau gol,” katanya.
Sementara itu, Slot turut mengesahkan beberapa pemain bertaraf bintang terpaksa disisihkan pada perlawanan di Stadium Craven Cottage itu kerana masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.
“Pasukan tidak akan membawa Trent Alexander-Arnold dan Joe Gomez kerana mereka hanya akan pulih beberapa minggu lagi. Penjaga gol, Alisson Becker juga kemungkinan tidak akan diturunkan.
“Seorang lagi pemain pertahanan kami, Conor Bradley juga belum cergas tetapi saya hanya akan membuat keputusan pada hari perlawanan. Mungkin Curtis Jones akan diberikan peranan di posisi bek kanan sekali lagi,” katanya. – AGENSI