GUA MUSANG – Lebih 300 penduduk Orang Asli Kampung Aring 5, Pos Lebir di sini teruja dan tidak sabar menikmati capaian internet yang lebih baik setelah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina sebuah menara telekomunikasi di kawasan tersebut.
Penghulu Kampung Aring 5, Raina Anjang berkata, selama ini, penduduk berhadapan dengan pelbagai masalah akibat capaian internet yang lemah.
Katanya, mereka gembira apabila melihat ada usaha daripada pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah capaian internet di kampung mereka.
“Sudah berpuluh tahun kami mengalami masalah telekomunikasi dan berharap projek pembinaan menara telekomunikasi itu akan dilaksanakan secepat mungkin.
“Sebelum ini, kami hanya menumpang menara telekomunikasi dari luar kampung kami yang kedudukannya jauh dan liputannya juga sangat lemah,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, SKMM dalam satu kenyataan semalam memaklumkan bahawa pihaknya mengambil tindakan proaktif bagi menangani masalah capaian internet membabitkan lapan kawasan luar bandar.
Kawasan luar bandar itu adalah Kampung Banggol Pak Esah di Pasir Puteh, Kelantan; Kampung Siram, Kedai Tanjong, Pasir Mas, Kelantan; Kampung Aring 5 Gua Musang, Kelantan; Kampung Kaum Asli Kemidak, Bekok, Segamat, Johor; Pulau Aman; Kampung Labi di Beaufort, Sabah; Kampung Panikuan di Kudat dan Kampung Waluhu di Ranau, Sabah.
SKMM turun padang khususnya bagi membantu pelajar yang sedang menjalani kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). -K! ONLINE