KUANTAN – Hasrat seorang tentera darat untuk membeli sebuah kenderaan jenis Toyota C-HR pada harga semurah RM18,000 akhirnya punah akibat ditipu penjual.
Kejadian bermula pada 20 Januari lalu apabila lelaki berusia 22 tahun tersebut melayari laman sosial Facebook dan melihat iklan jualan kenderaan murah berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa berurusan dengan suspek lelaki yang menggunakan nama Ang.
“Semasa berada di kem tentera di Bera, mangsa berminat untuk membeli kenderaan yang diiklankan laman sosial Facebook.
“Mangsa bersetuju membeli kenderaan itu pada harga RM18,000 dan telah membuat tujuh kali transaksi pemindahan wang ke dalam dua akaun berlainan.
“Selepas memindahkan duit tersebut, mangsa diminta membayar lagi duit berjumlah RM5,000,” ujar Mohd. Wazir menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, mangsa bagaimanapun tidak melakukan bayaran tambahan tersebut dan tampil membuat laporan di Balai Polis Triang, Bera semalam kerana berasa tertipu.
“Mangsa mengalami kerugian RM13,150 dan tidak melakukan bayaran tambahan seperti diarahkan suspek. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. -K! ONLINE