PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan tidak pernah mengeluarkan apa-apa kelulusan atau surat kebenaran kepada syarikat swasta atau pihak lain bagi membeli atau mengedar vaksin Covid-19 di negara ini.
Ia sekali gus menafikan laporan dikeluarkan sebuah akhbar tempatan bertajuk ‘Mestron edar vaksin Covid-19 dari China’ pada 29 Januari lalu.
Menerusi hantaran di laman rasminya, KKM memaklumkan artikel tersebut tertulis frasa ‘ syarikat itu sudah menerima surat kebenaran daripada KKM’.
“Sebenarnya, KKM tidak pernah mengeluarkan apa-apa kelulusan atau surat kebenaran kepada syarikat berkenaan atau pihak lain bagi tujuan itu,” katanya.
Katanya, setakat ini, hanya KKM sahaja diberi peruntukan kuasa untuk mengurus akses dan membeli vaksin Covid-19, selaras dengan tugas KKM menguatkuasakan hal ehwal perubatan menerusi agensinya Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Jelasnya lagi, pihak KKM berharap kesalahan laporan dalam artikel tersebut dapat diperbetulkan demi mengelak kekeliruan dan sebarang manipulasi lain oleh pihak tidak bertanggungjawab. -K! ONLINE