CYBERJAYA – Kerajaan dan syarikat telekomunikasi bersetuju melanjutkan tempoh operasi 54 Pusat Internet Komuniti (PIK) di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pelanjutan operasi itu melibatkan 17 PIK di Wilayah Persekutuan dan 37 PIK di lain-lain negeri bagi memberi kemudahan capaian internet kepada golongan pelajar dan warga B40 di kawasan terbabit.
“PIK dibuka dari 9 pagi hingga 9 malam setiap hari kecuali cuti umum sejak 8 Januari lalu hingga hujung April depan.
“Diharap langkah ini dapat membantu isi rumah dan pelajar terutamanya calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 untuk mengikuti pembelajaran serta melakukan urusan harian secara dalam talian dengan murah dan selesa di PIK,” katanya di sini hari ini.
Selain itu, MCMC berkata, 130 PPR di seluruh negara dikenal pasti untuk menerima akses wifi percuma yang dipasang oleh syarikat-syarikat telekomunikasi utama.
Katanya, setakat ini, wifi percuma di 121 PPR telah beroperasi manakala baki sembilan PPR dijangka menerima kemudahan ini pada 5 Februari ini.
“Ia dilaksanakan bagi merangsang keupayaan penduduk PPR menggunakan platform dalam talian untuk meningkatkan kegiatan ekonomi, peka dengan perkembangan semasa dan menambah kemahiran,” katanya. -K! ONLINE