PETALING JAYA – Sebanyak 25,000 warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bakal menerima sumbangan beras percuma bermula 1 Februari depan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP), sumbangan tersebut adalah melalui program MYBERAS@WILAYAH merupakan salah satu inisiatif tambahan program MyFood@Wilayah yang diletakkan di bawah Cakna Kemiskinan selaras dasar Wilayah Prihatin.
Jelas kenyataan itu lagi, sumbangan akan diberikan pada 1 Februari depan bersempena sambutan HAri Wilayah Persekutuan yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dalam pada itu, menurut Menteri Wilayah Persekutuan yang juga Pengerusi YWP, Tan Sri Annuar Musa, porgram itu bertujuan untuk meringankan beban warga Wilayah Persekutuan.
“Program MYBERAS@WILAYAH ini mamu meringankan beban golongan miskin bandar atau B40 yang terjejas pendapatannya akibat Covid-19 di Wilayah Persekutuan.
“Jenis bantuan yang alam diberikan ialah satu kampit beras 5 kilogram bagi setiap keluarga yang layak,” katanya.
Jelasnya lagi, rakyat boleh memohon sumbangan melalui kupon yang boleh diperolehi daripada Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) zon masing masing seperti yang tertera di laman web: https://www.yayasanwp.org/myberas.
“Pihak YWP akan mengedar bantuan untuk rakyat melalui para MPPWP, 3 kali seminggu iaitu pada setiap Isnin, Rabu dan Jumaat sepanjang bulan Februari 2021.
“Walaubagaimanapun, tempoh agihan sumbangan ini akan dilanjutkan sehingga Jun 2021 sekiranya mendapat lebih banyak sumbangan dari orang ramai dan badan korporat,” ujarnya.
Jelasnya, orang ramai, syarikat, badan bukan kerajaan (NGO) serta badan korporat yang mahu memberi sumbangan wang atau sumbangan beras beserta sumbangan barangan keperluan boleh melakukannya melalui ‘Portal Penyumbang MYBERAS/MYFOOD’ iaitu di http://yayasanwp.org.my/myberas-penyumbang. – K! ONLINE