fbpx

Jangan terperdaya ajaran ‘Agama Melayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANGKAP layar rakaman video yang tular di media sosial mengenai dakwaan ajaran agama baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’.

PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan agar tidak terpe­ngaruh dengan ajaran baharu dikenali sebagai ‘Agama Melayu’ yang didakwa sebagai sesat lagi menyesatkan.

Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasrudin Hassan berkata, pihak berkuasa agama sedang menyiasat perkara itu selain memberi kefahaman aqidah dan fikrah.

“Makin mencabar tugas dakwah kita semua pada zaman mutakhir ini. Sehari dua ini kecoh pula dengan lahirnya agama baharu yang dikenali sebagai Agama Melayu yang menggunakan lafaz syahadah yang pelik.

“Seperti yang saya dengar lafaznya ‘ila ha ila ra ila ma’ dan disam­bung dengan pengakuan ‘Aku Melayu’ sebanyak tujuh kali,” katanya menerusi satu ke­nyataan di laman Facebook rasminya semalam.

Dakwa Nasrudin, ajaran tersebut juga menolak ajaran Islam yang dianggap sebagai Islam Arab dan kononnya mereka membawa Islam Melayu.

“Insya-Allah dari sudut pe­nguatkuasaan, pihak berkuasa agama sedang menyiasat dan merencana tindakan berhikmah.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan ajaran Islam Melayu yang dibawa oleh individu berkenaan. Jelas ia adalah ajaran yang sesat lagi menyesat,” tegas beliau.

Individu yang didakwa terlibat dalam ajaran berkenaan merupakan seorang wanita.

Terdahulu, satu video berdu­rasi lebih lapan minit lima saat tular di media sosial memaparkan aktiviti ritual sebuah kumpulan yang didakwa mengamalkan ajaran Agama Melayu.

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin pula menggesa kerajaan meminda segera Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355 (RUU355).

Jelasnya, isu penyelewengan akidah dan syariah merupakan antara sebab terpenting mengapa RUU 355 wajib dipinda.

“Pindaannya membolehkan kerajaan mengambil tindakan lebih tegas ke atas umat Islam yang murtad, menghina agama Islam dan melakukan penyelewengan berkaitan akidah dan kesalahan syariah.

“Sekarang ini, walaupun umat Islam melakukan jenayah berat dalam urusan agama, namun hukuman yang dikenakan kepada pesalah tersangat minima.

“Contohnya, dalam Akta Pentadbiran Islam Wilayah Persekutuan 1993, mana-mana ke­salahan syariah yang dibuat hanya boleh dikenakan hukuman maksimun tiga, lima dan enam (sebatan) sahaja. Iaitu tiga tahun penjara, RM5,000 denda dan enam kali sebatan sahaja,” ujarnya dalam hantaran Facebook miliknya semalam.

Beliau turut bandingkan undang-undang Islam dengan undang-undang lain yang sudah berapa lama tidak dipinda.

“Sangat menyedihkan! Perlu diingat bahawa orang bukan Islam tiada kaitan dengan pindaan ini. Ada berani? Saya menyokong penuh gagasan Rabbani yang dilancarkan oleh Menteri Agama.

“Tetapi saya tidak reda agama kita terus dipermainkan oleh mana-mana penyebar dan pengikut ajaran sesat. Ayuh! tangkap, penjara dan kita lakukan rehabilitasi menyeluruh,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI