fbpx

‘Mr. President’ kembali, dia tak pernah Ciao

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JOE FLIZZOW

DIA tak pernah hilang, ‘Mr. President’ kini kembali dengan single baharu berjudul Ciao featuring MK K-Clique dan Jay Park.

Jika karya kolaboratif tersebut tidak membuat para penjunjung karya Joe atau nama lengkapnya, Johan Ishak, 41, ataupun penggemar muzik hip hop, penulis tidak tahu apa yang anda sedang lakukan pada 2021 yang masih ‘meroyan’ dengan pelbagai kecelaruan semasa.

Ya, penulis sedang bercakap tentang anda Covid-19 dan politik, begitu juga dengan suhu ekonomi negara yang sedikit merunsingkan dewasa ini.

Berbalik tentang Ciao, secara peribadinya penulis seperti kembali mendapat tiupan semangat kerana akhirnya dapat bertemu dengan karya yang boleh jadi rujukan ramai penyanyi rap atau lebih dikenali sebagai MC dalam industri.

Terakhir Joe ‘memberi pesanan’ kepada kita adalah menerusi Kuasa featuring Azlan & The Typewiter tahun lalu.

Ciao boleh disifatkan sebagai satu karya yang sangat dekat dengan rakyat marhaen – yang banyak menghabiskan masa di jalanan demi sesuap nasi.

“Kita perlukan antem untuk street (jalanan) yang sudah lama tidak ditemui. Inilah dia,” ujar Joe ketika ditemu bual HibGlam baru-baru ini.

Ada banyak peringatan atau pesanan yang ditinggalkan Joe dalam lagu ini. Suatu ketika dahulu, dia dan rakan karibnya, Malik bermula dengan kosong dan sekarang, apa yang ditinggalkan mereka adalah satu legasi.

Tabik untuk general. Too Phat dahulu naik kancil, sekarang kereta kebal. Itu antara bait-bait lirik yang dilibaskan Joe dengan bersahaja, namun penuh pengertian.

Untuk yang benar memahami, anda tahu siapa ‘general’ yang dimaksudkan oleh Joe.

Kita akan sentiasa merindukan orang itu dan berharap beliau sentiasa berada dalam keadaan yang baik-baik dan didakap rasa bahagia.

Freestyle

Dalam pada itu, secara peribadi buat penulis, Ciao yang dikongsikan Joe memberi rasa umpama, ini bukan muzik untuk memberitahu sebagaimana MC sekarang buat itu, buat ini.

Tidak. Ini Joe dan luahan rapnya bersifat semulajadi atau ‘freestyle’ yang tiada dalam mana-mana penyanyi rap atau hip hop zaman sekarang.

Membawa masuk MK dan Jay Park yang ‘diimport’ khas, kualiti itu lagi membuat Ciao lebih berona.

Rap MK sangat kemas dan mempunyai identiti sendiri yang apabila lagu ini diputarkan dalam platform penstriman mahupun di corong radio, anda tahu, rap itu rap MK.

Jay Park seperti lazimnya, tidak pernah mengecewakan. Jika boleh penulis terjemahkan rapnya dalam bentuk emoji di papan kekunci telefon pintar anda, pasti emoji dengan perlambangan api yang tersembul. Anda tahu emoji yang mana satu.

Rasanya, penulis tidak perlu memberi deskripsi kualiti rap dari segi tempo, lirik, ‘clarity’ yang dicernakan Joe dalam Ciao.

Dia ‘Mr. President’. Dia adalah asbab mengapa hip hop di Malaysia terus mendunia.

Cuma satu, lagu tersebut mungkin tidak akan ‘lepas’ ke Anugerah Juara Lagu (AJL) melainkan Joe hadir dengan versi lagi satu yang lebih ‘menunduk’ atau disesuaikan dengan norma masyarakat negara ini.

Bukan kita sangat menitikberatkan santun atau pekerti dalam lirik (rujuk lirik yang dipadukan Jay Park).

Penulis bagaimanapun tidak pedulikan AJL untuk tahap Joe. Biarpun pada minda penulis sebenarnya sudah terbayang bagaimana Joe, MK dan Jay Park beraksi dan mengajar sambil berlagu lirik rap mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI