MACHANG – Sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah diibaratkan perjalanan hidup seorang lelaki Wan Ahmad Wan Junoh, 60, yang kini hanya mampu terlantar selepas penyakit sawan yang dihidapi sejak berusia lima tahun lalu semakin serius.
Tambah malang, lelaki warga emas tersebut yang tinggal di rumah pusaka di Kampung Cherang, Pulai Chondong di sini kini disahkan menghidap tibi atau batuk kering sejak dua bulan.
Adik Wan Ahmad, Wan Zubaidah, 52, berkata, abangnya yang bujang kini dijaga dirinya sambil dibantu anak saudaranya, Shazarmi Mohamad Belayong, 32.
“Sebelum ini, ibu dan bapa saya menjaga abang tetapi selepas mereka meninggal dunia, kami adik beradik mengambil alih tugas berkenaan. Abang tidak boleh makan nasi dan doktor menyarankannya minum susu khas.
“Namun akibat kekangan wang, kami hanya memberikannya susu biasa. Setiap bulan kami perlu menyediakan enam pek lampin pakai buang dewasa untuknya dan menyebabkan terpaksa melupakan hasrat untuk memberinya susu khas,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Wan Zubaidah yang juga ibu tunggal dan bekerja sebagai Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Kampung Panggung di sini hanya memperoleh elaun sebanyak RM600 sebulan.
Ujarnya, dengan pendapatan itu, dia perlu menanggung keluarga dan anak bongsu yang masih belajar di kolej matrikulasi.
“Mujur abang saya mendapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 sebulan yang sekurang-kurangnya dapat membantu membeli kelengkapannya,” jelasnya.
Sementara itu, menurut Shazarmi, dia sebelum ini yang bekerja sebagai juruteknik elektrik di Johor Bahru berhenti daripada kerja itu untuk membantu Wan Zubaidah menjaga bapa saudaranya itu.
Katanya, dia secara sukarela datang menjaga bapa saudaranya sejak awal bulan ini termasuk memandikan Wan Ahmad.
Prihatin dengan nasib keluarga itu, Kelab Kebajikan dan Sukarela (Kelss) menghulurkan bantuan antaranya lampin dewasa, kerusi roda, tilam angin elastik dan susu khas untuk Wan Ahmad.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional 0111829000144224 atas nama Wan Ahmad Wan Junoh atau boleh menghubungi Wan Zubaidah menerusi talian 011-2555 1347.