BEIJING – 11 lagi kejohanan tenis termasuk kejohanan ATP dan WTA di China terpaksa dibatalkan selepas kerajaan negara itu mengumumkan mereka tidak akan mengadakan sebarang aktiviti sukan sehingga akhir tahun ini.
Tujuh kejohanan Jelajah WTA sudah dibatalkan, ia termasuk kejohanan Final WTA yang sepatutnya berlangsung di Shenzhen November depan.
Sementara itu, bagi kejohanan Jelajah ATP, Shanghai Masters yang dianggap sebagai salah satu kejohanan berprofil tinggi juga sudah dibatalkan.
Pengerusi WTA, Steve Simon mengakui keadaan itu menyebabkan pihaknya berasa sangat kecewa, namun tetap menghormati keputusan yang diambil kerajaan China.
“Kami sangat kecewa dengan perkembangan terbaru ini. Bagaimanapun, WTA tetap menghormati keputusan yang dibuat dan sedia untuk kembali ke China secepat mungkin,” kata Simon.
Sementara itu, Pengerusi ATP, Andrea Gaudenzi memuji langkah yang diambil kerajaan China dalam membendung pandemik Covid-19 daripada terus menular.
“Kami hormati keputusan kerajaan China kerana mereka tahu apa yang terbaik untuk negara. Kita semua berada dalam situasi global yang tidak menentu,” ujar Gaudenzi. – AGENSI