KUALA LUMPUR – Penolong jurulatih skuad hoki remaja lelaki negara, Megat Azrafiq Termizi berharap pembangunan hoki lima sebelah (5’s) dapat membantu Malaysia mempertahankan pingat emas acara itu pada Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2026 di Dakar, Senegal.
Skuad hoki 5’s negara mencipta kejutan apabila memenangi pingat emas pada kejohanan untuk peringkat umur bawah 18 tahun itu sewaktu edisi Buenos Aires di Argentina dua tahun lalu.
Megat ketika itu bertindak sebagai pembantu jurulatih kepada Wallace Tan dan kini kedua-dua individu tersebut diberikan peranan baharu mengendalikan skuad remaja lelaki yang merupakan pasukan projek untuk Sukan Asia 2026.
“Saya sangat berbesar hati kerana ini adalah peluang terbaik untuk saya berkongsi pengalaman dan ilmu dari segi peraturan permainan, taktikal, sistem serta konsep bermain hoki 5’s.
“Perkongsian idea ini bagus kerana ia membuka ruang kepada peserta lain untuk memahaminya. Cuma sayangnya saya tidak dapat mengadakan sesi praktikal bersama peserta kerana cuaca tidak mengizinkan.
“Saya harap inisiatif ini dapat diteruskan persatuan-persatuan negeri yang lain. Semoga pembangunan hoki 5’s dapat membantu negara membentuk pasukan mantap untuk menghadapi YOG 2026 nanti,” katanya.
Megat dijemput berkongsi pengalamannya dalam majlis seminar hoki 5’s anjuran Konfederasi Hoki Malaysia dan Persatuan Hoki Negeri Sembilan di Stadium Hoki Seremban 2 baru-baru ini. – K! ONLINE