KOTA TINGGI – Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 58.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan, Kluang, lewat malam tadi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam di sini petang tadi.
Allahyarham Nasarudin Pardi, 36, isterinya, Siti Khazira Bani, 35, serta anak mereka, Mariam Nasarudin, 2 dikebumikan di dalam satu liang lahad, kira-kira pukul 6.20 petang tadi.
Terdahulu, solat jenazah tiga beranak itu disempurnakan lebih 100 jemaah selepas solat Asar di Masjid Al Muttaqin Taman Kota Jaya, di sini.
Dalam kejadian pada pukul 11.48 malam itu turut mengorbankan dua lagi nyawa ialah pemandu dan penumpang Proton X50 Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan Mohd Nur Afiji Asamad, 27.
Lapan lagi mangsa yang turut mengalami kecederaan dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) dan Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai. – KOSMO! ONLINE