PETALING JAYA – Aliran trafik di beberapa lebuh raya utama negara menunjukkan kesesakan trafik di beberapa lokasi setakat pukul 6.40 petang hari ini, sempena cuti perayaan Aidilfitri.
Berdasarkan pemantauan Kosmo! melalui televisyen litar tertutup (CCTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), kesesakan dikesan berlaku di Plaza Tol Gombak, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK).
Selain itu, aliran trafik di Lebuhraya Utara-Selatan juga mencatatkan kesesakan dengan peningkatan jumlah kenderaan.
Terdahulu, LLM menjangkakan jumlah trafik harian meningkat kepada 2.77 juta kenderaan sepanjang cuti perayaan ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 216,000 kenderaan dijangka menggunakan KLK, manakala lebih 200,000 kenderaan bakal melalui Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2 (LPT1 dan LPT2) pada hari puncak.
Pengguna lebuh raya dinasihatkan merancang perjalanan dengan bijak dan mematuhi jadual waktu perjalanan yang disarankan bagi mengelakkan kesesakan teruk. – KOSMO! ONLINE