SEBERANG PERAI – Polis menyerbu sebuah hotel di Machang Bubok, Bukit Mertajam di sini selepas mendapati seramai sembilan individu termasuk empat wanita berkumpul dan berhibur tanpa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) tengah malam tadi.
Difahamkan, mereka yang berusia 16 hingga 24 tahun pergi ke hotel itu untuk menyambut hari lahir seorang daripada mereka sebelum diserbu dalam Op Covid-19 kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, ketika serbuan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu, lima lelaki dan empat perempuan didapati sedang berhibur.
“Kesemua mereka kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bukit Mertajam bagi tindakan kompaun kerana gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini. – K! ONLINE