PETALING JAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) mengesan modus operandi baharu penipuan dalam talian yang menyasarkan keluarga klien dengan menyamar sebagai pegawai AADK untuk memeras ugut mereka.
AADK memaklumkan, setakat ini dua kes telah dikesan membabitkan panggilan telefon dan e-mel yang meminta bayaran tertentu kononnya untuk mengelakkan tindakan tegas terhadap klien yang sedang menjalani program rawatan dan pemulihan di AADK.
“Bagaimanapun, tiada mangsa penipuan dilaporkan setakat ini memandangkan semua mangsa terus merujuk Pusat Gerakan Hotline (PGH) AADK untuk mendapatkan pengesahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AADK menasihatkan ahli keluarga atau penjaga klien yang menerima panggilan atau e-mel meragukan agar segera menghubungi pegawai pemulihan di daerah, negeri atau ibu pejabat sebelum mengambil sebarang tindakan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan transaksi pemindahan wang kepada individu atau nombor akaun mencurigakan serta segera membuat laporan polis sekiranya menerima panggilan atau mesej penipuan.
“Sebarang aduan atau pertanyaan boleh diajukan kepada AADK melalui pejabat berhampiran atau talian bebas tol PGH AADK di 1-800-22-2235 atau menerusi WhatsApp di 019-626 2233,” ujarnya.
AADK menegaskan pihaknya komited dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan klien dan keluarga mereka daripada menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“Orang ramai juga diminta untuk sentiasa berwaspada dan tidak terpedaya dengan taktik licik penipuan yang menyalahguna nama AADK untuk kepentingan peribadi,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE