PETALING JAYA – Satu lagi video amaran kepada kerajaan Malaysia mula dimuat naik ke laman sosial Facebook hari ini oleh sekumpulan penggodam yang menggelarkan gerakan mereka sebagai ‘Anonymous Malaysia’.
Video berdurasi 3 minit 17 saat itu dimuat naik di laman Facebook mereka yang menggunakan nama ‘Anonymous Malaysia’ turut disertakan dengan tanda pagar OpsWakeUp21 berserta kapsyen ‘ini adalah mesej kedua’.
“Sejak tahun 2015 hingga sekarang, penipu berterusan menipu rakyat melalui surat, email, panggilan telefon, sms, aplikasi WhatsApp dan media sosial. Ada yang terima notifikasi menang hadiah malah ada yang diugut seperti mereka telah melakukan jenayah.
“Ini terjadi susulan aktiviti penggodaman yang berlaku di peringkat syarikat pembekal perkhidmatan swasta dan kerajaan mengakibatkan data kerajaan seperti maklumat peribadi dibocorkan dan dijual di pasaran gelap kepada pihak ketiga.
“Kami tahu siapa anda, tapi adakah rakyat tahu identiti mereka ini? Ada pegawai kerajaan dan ahli politik turut menerima rasuah untuk melindungi aktiviti perjudian, penyeludupan, scam, dadah atau aktiviti peras ugut sejak sekian lama, kami tahu siapa anda,” ujar individu di dalam video tersebut.
Tambah video itu, kumpulan berkenaan tahu siapa identiti mereka yang terlibat dan prihatin terhadap apa yang berlaku di Malaysia.- K! ONLINE