fbpx

K2

Ceraikan isteri kerana gilakan rakan sekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SEKALI imbas, wanita berkulit putih mulus dan bertubuh langsing itu kelihatan cukup sempurna di mata setiap orang terutamanya sang kumbang.

Mira (bukan nama sebenar) boleh dianggap sangat bertuah kerana turut memiliki kerjaya yang stabil dan bisnes sendiri bagi menjana pendapatan.

Malah, sepanjang tujuh tahun berumah tangga, pasangan tersebut kekal bertahan meskipun tidak mempunyai rezeki untuk menimang cahaya mata.

Malangnya, kelebihan yang dimiliki oleh wanita berusia 36 tahun itu masih belum cukup untuk menghalang suaminya, Malek untuk bermain kayu tiga di belakangnya bersama rakan sekerja
Malek dikenali sebagai Farah (bukan nama sebenar).

“Saya mula menyedari hubungan Malek dengan Farah selepas terlihat simbol hati (love) pada komen laman sosial suami daripada wanita berkenaan.

“Selepas itu, saya terus hubungi suami dan bertanyakan status wanita berkenaan. Malek memberitahu saya bahawa wanita itu hanya kenalan biasa dan saya menerima jawapan itu dengan hati terbuka,” katanya ketika ditemu bual K2 baru-baru ini.

Mira yang berasal dari ibu kota berkata, sepanjang pengenalan Malek dengan Farah, dia dapat melihat perubahan kepada suaminya.

Ujarnya, salah satu perubahan yang ditunjukkan adalah Malek sering bekerja lebih masa, malah ada ketikanya tidak pulang langsung ke rumah selama beberapa hari.

Perkara berkenaan berlarutan selama beberapa bulan, sebelum Mira mengambil inisiatif menyiasat sendiri pergerakan suaminya selepas pulang daripada bekerja.

Betapa hancurnya hati seorang isteri apabila melihat suaminya masuk ke rumah perempuan lain dan tidak pulang ke rumah.

“Hati saya bagai hancur ketika itu apabila mengetahui suami ada orang lain di belakang saya.
Malah, dia menjalinkan hubungan intim dengan seorang wanita berstatus anak dara,” ujarnya.

Selepas, Malek pulang ke rumah, Mira terus mendesak supaya suaminya berterus terang mengenai status sebenar Farah.

Disebabkan itu, Malek mengakui bahawa Farah merupakan kekasih hatinya dan mereka telah menjalinkan hubungan terlarang selama hampir setahun.

Memburukkan lagi keadaan, Malek turut menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan gadis berkenaan sebagai isteri keduanya.

“Alasan yang diberikan Malek cukup mudah, dia ingin berkahwin dengan Farah bagi mengelakkanya daripada terus bergelumang dengan dosa zina.

“Ketika itu, hanya Tuhan yang tahu perasaan saya. Saya tidak rela hidup bermadu untuk bersama dengan orang yang saya sayang,” tegasnya.

 

KECURANGAN suami Mira dengan rakan sekerja berjaya dihidu Mira dengan melihat komen yang ditinggalkan wanita itu kepada suaminya di media sosial. – GAMBAR HIASAN

Menurut Mira, jika diikutkan, Malek yang bekerja sebagai pegawai kerajaan dan berpangkat besar mempunyai kemampuan kewangan kukuh untuk beristeri dua.

Bagaimanapun, Mira yakin Malek tidak mampu memenuhi tanggungjawab sebagai seorang suami yang adil kepada isteri-isterinya.

“Sepanjang saya berkahwin Malek, semua kerja dan urusan di rumah ini saya urus sendiri. Dia tidak pernah ambil tahu langsung mengenai bayaran bil, kerosakan di rumah atau membeli barang dapur.

“Dia lebih banyak menghabiskan masa di tempat kerja. Jadi, saya fikir sedangkan satu rumah pun tidak mampu diuruskan apatah lagi jika mempunyai dua rumah selepas ini,” terangnya.

Disebabkan itu, Mira menolak permintaan suaminya itu dengan harapan Malek dapat mengubah kembali keputusannya untuk memperisterikan Farah.

Selepas hampir 10 bulan berlalu, apa yang diharapkan Mira tidak berlaku, sebaliknya Malek didapati semakin menjauhkan diri daripadanya.

“Malek memberitahu hati dan perasaannya kepada saya sudah tidak ada. Jadi, dia rela melepaskan saya secara baik untuk membolehkannya berkahwin dengan Farah.

“Saya berasa sangat kecewa kerana Malek lebih memilih wanita itu berbanding saya. Meskipun berat, saya tidak ada pilihan kecuali menerima permintaan itu,” jelasnya.

Akhirnya, mereka berdua sepakat untuk bercerai secara damai di sebuah mahkamah syariah di Lembah Klang dengan kaedah fast track atau laluan pintas.

Kaedah laluan pintas membolehkan pasangan suami isteri bercerai dalam tempoh singkat tanpa perlu menunggu tarikh tertentu untuk sebutan kes.

“Kami mencapai persetujuan bersama untuk bercerai secara baik, Jadi, kami menggunakan kaedah laluan pintas dan pihak mahkamah syariah memahami situasi kami.

“Disebabkan kami bercerai talak satu, saya dan Malek masih boleh rujuk kembali selepas ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI