SEREMBAN – Seorang kanak-kanak, Muhammad Haikal Baharudin, 12 yang dilaporkan hilang baru-baru ini menyembunyikan diri di sebuah surau di taman berhampiran.
Menurut Muhammad Haikal, dia merajuk dengan bapanya kerana dimarahi dan mengambil keputusan untuk tidur di surau berkenaan.
Katanya, dia tidak berfikir panjang ketika itu dan mengikut kata hati untuk melarikan diri dari tempat tinggalnya.
“Saya rasa kecewa pada masa itu, sekarang saya sedar teguran bapa saya adalah untuk mendidik diri saya menjadi lebih baik.
“Menyesal sebab membuat bapa saya risau dan menyusahkan banyak pihak,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Medan Selera Taman Seri Mawar di sini hari ini.
Muhammad Haikal memberitahu, sepanjang tempoh menghilangkan diri, dia hanya makan buah mangga yang dipetik di pokok berhampiran surau itu.
“Saya minum air paip di surau sebab saya segan nak minta dengan orang dan ada sekali itu, seorang pakcik bagi saya makan.
“Pada hari Rabu lalu, ada rukun tetangga datang dan saya lari ke rumah mak cik di taman yang sama sebelum diserahkan kepada polis,” katanya.
Bapanya, Baharudin Abdul Rahman, 56, berkata, dia mengambil anaknya petang semalam di Balai Polis Seremban 2 selepas dihubungi pihak polis.
“Saya bersyukur anak telah kembali ke pangkuan dan kini saya rasa lega,” katanya.
Sebelum ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan hebahan pencarian melalui Nur Alert memaklumkan kali terakhir Muhammad Haikal itu dilihat memakai baju corak belang merah hitam dan berseluar sukan warna biru gelap pada tengah malam Ahad. -K! ONLINE