fbpx

Mavcom ramal jumlah penumpang udara tahun ini cecah 112.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mavcom berkeyakinan industri sektor penerbangan akan terus mencatat pertumbuhan positif dalam tempoh jangka panjang. -Gambar hiasan

PETALING JAYA – Prestasi trafik penumpang udara Malaysia bagi Februari 2025 adalah 8.7 juta pengguna penerbangan, iaitu peningkatan sebanyak 6.9 peratus tahun-ke-tahun (YoY) berbanding Februari 2024.

Walaupun terdapat penurunan sebanyak 5.9 peratus bulan-ke-bulan (MoM) dari Januari tahun ini disebabkan oleh permintaan perjalanan yang kembali normal selepas perayaan Tahun Baharu Cina, namun permintaan keseluruhan kekal kukuh, didorong oleh peningkatan kesalinghubungan, pengecualian visa serta tempoh cuti sekolah yang masih berterusan.

Sehingga kini, sebanyak 17.9 juta pengguna penerbangan telah melalui lapangan terbang di Malaysia.

Mavcom meramalkan bahawa jumlah keseluruhan trafik penumpang udara bagi tahun 2025 berada dalam julat antara 105.8 juta hingga 112.9 juta, sekali gus mengukuhkan momentum berterusan dalam sektor penerbangan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, prestasi kedudukan sektor penerbangan Malaysia dalam landasan pemulihan dan pertumbuhan yang mampan.

“Pengenalan laluan baharu serta inisiatif dasar seperti pengecualian visa
terus memperkukuh kesalinghubungan penerbangan dan merancakkan pertumbuhan.

“Seiring perubahan dalam permintaan perjalanan, Mavcom kekal komited untuk memastikan pemulihan ini disertai dengan kualiti perkhidmatan yang baik, perlindungan pengguna penerbangan yang kukuh danpemantauan kawal selia yang teguh bagi menyokong ekosistem penerbangan yang berdaya tahan dan
bersedia untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, trafik penumpang udara domestik bagi Februari 2025 mencatatkan 4.3 juta pengguna penerbangan,
meningkat 6.6 peratus YoY, manakala trafik penumpang udara antarabangsa berjumlah 4.4 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus YoY.

Trafik udara antarabangsa menyumbang 51.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pengguna penerbangan dalam 2 bulan pertama tahun ini, mengekalkan kedudukannya sebagai segmen dominan.

Pertumbuhan bagi pasaran bukan ASEAN adalah pesat, dengan 2.6 juta pengguna penerbangan direkodkan pada Februari, menandakan peningkatan sebanyak 10.0 peratus YoY.

Pasaran ASEAN pula mencatatkan 2.2 juta pengguna penerbangan, meningkat 4.4 peratus YoY.

Jumlah pengguna penerbangan di lapangan terbang utama terus meningkat, dengan Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KUL) mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus YoY.

Di  Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PEN) mencatat peningkatan jumlah penumpang sebanyak  8.7 peratus dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (JHB) mencatatkan pertumbuhan sebanyak 6.9 peratus.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (BKI) merekodkan kenaikan 5.3 peratus, manakala Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK)
dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KCH) masing-masing mencatatkan pertumbuhan YoY sebanyak 2.3 peratus dan 1.7 peratus.

“Trend pertumbuhan positif ini disokong oleh faktor seperti pemulihan kapasiti tempat duduk, pengecualian visa bagi pelancong dari China dan India, serta pengenalan laluan antarabangsa baharu,termasuk Kota Kinabalu–Tokyo (Jepun), Kuala Lumpur–Ürümqi (China), dan Pulau Pinang–Zhangjiajie (China),” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI