PUTRAJAYA – Semua rakyat Malaysia yang berada di Sudan Selatan digesa segera meninggalkan negara itu memandangkan risiko keselamatan semakin meningkat ketika ini.
Kementerian Luar dalam kenyataan memaklumkan, langkah itu perlu dibuat sementara penerbangan komersial masih beroperasi sebagai mengutamakan keselamatan mereka.
Katanya, Pejabat Suruhanjaya Tinggi sentiasa berhubung dengan rakyat Malaysia, di samping terus menyelaras dengan pihak berkuasa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Katanya, ia bagi memastikan status 18 Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sedang berkhidmat di bawah United Nations Police (UNPOL) terjamin.
“Kesemua mereka berada dalam keadaan selamat. Kementerian ini juga menasihatkan rakyat Malaysia untuk tidak melakukan sebarang perjalanan ke Sudan Selatan.
“Kerajaan sentiasa mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara,” katanya hari ini.
Kementerian Luar Negeri, melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Nairobi, Kenya terus memantau situasi keselamatan di sana dengan teliti berikutan perkembangan terkini yang telah menjejaskan tahap keselamatan di negara tersebut.
Katanya, pihaknya akan memberikan sebarang perkembangan lanjut sekiranya perlu. – KOSMO! ONLINE