JOHOR BAHRU – Berbaki tiga hari sebelum perayaan Aidilfitri, masih terdapat 80 keluarga melibatkan seramai 270 mangsa banjir ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi setakat 8 pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr. Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding seramai 266 mangsa direkodkan, pukul 4 petang semalam.
Katanya, dua PPS yang masih beroperasi adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Comel dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gading, kedua-duanya di Batu Pahat.
“Mereka masih tidak dapat pulang ke kediaman masing-masing kerana air di kawasan kediaman mangsa masih belum surut sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Azmi, Jabatan Metereologi tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir atau hujan lebat berterusan bagi mana-mana daerah seluruh Johor.
“Hanya satu sungai di negeri ini masih berada pada paras amaran iaitu Sungai Senggarang di Batu Pahat, manakala tiada jalan ditutup akibat banjir ketika ini,” jelasnya sambil memberitahu tiada kecederaan direkodkan sepanjang tempoh negeri ini dilanda banjir. – KOSMO! ONLINE