fbpx

10 juta penduduk sudah dibanci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir bercakap pada sidang akhbar status terkini Banci Malaysia 2020 di Facebook Live DOSM hari ini.

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan seramai 10 juta penduduk meliputi 3.3 juta tempat kediaman di negara ini sudah dibanci menerusi platform e-Census (banci dalam talian) setakat semalam.

Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, jumlah itu adalah kira-kira 30.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia pada tahun lalu.

Katanya, daripada dapatan 10 juta penduduk itu, 50.1 peratus ialah perempuan, manakala 49.9 peratus ialah lelaki.

“Berdasarkan data terkini, empat negeri mencatatkan respons bilangan penduduk tertinggi iaitu Putrajaya (90.9 peratus), Johor (48.2 peratus), Perlis (45 peratus) dan Perak (43.5 peratus).

“Manakala negeri terendah pula ialah Sabah (8.9 peratus), Labuan (17.6 peratus) dan Sarawak (18.9 peratus).

“Selebihnya ialah Melaka (38.9 peratus), Pulau Pinang (38 peratus), Negeri Sembilan (35.2 peratus), Terengganu (32.5 peratus), Selangor (31.4 peratus), Kuala Lumpur (28.4 peratus), Kelantan (27.3 peratus), Kedah (25.8 peratus) dan Pahang (24 peratus),” katanya pada sidang akhbar Pemakluman Respons Banci Malaysia 2020 hari ini.

Mohd. Uzir berkata, bagi statistik warganegara, etnik Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak (67.1 peratus), diikuti etnik Cina (26 peratus), India (6.3 peratus) dan lain-lain (0.6 peratus), manakala bukan warganegara adalah sebanyak 2.3 peratus.

Selain itu, katanya, dianggarkan seramai 22.7 juta penduduk atau 69.4 peratus daripada anggaran 32.7 juta penduduk Malaysia masih belum mengisi Banci Malaysia 2020.

“Terdapat 320,000 isi rumah yang membabitkan 1.2 juta penduduk telah mendaftar di platform e-Census tetapi masih belum melengkapkan pengisian e-Census sepenuhnya,” katanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI