SEREMBAN – Polis Negeri Sembilan mengeluarkan 1,497 saman atas pelbagai kesalahan sepanjang tempoh 11 hari pelaksanaan Ops Khas Lampu Isyarat Merah yang bermula 12 Mac lalu.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, daripada jumlah itu, kesalahan paling tertinggi dikesan adalah melanggar lampu isyarat merah dengan 925 saman.
Selebihnya membabitkan kesalahan lesen memandu (152 saman), tali pinggang (140), lesen kenderaan motor tamat tempoh (74), nombor pendaftaran (80), cermin sisi (46) dan lain-lain kesalahan sebanyak 80 kes.
“Jumlah kenderaan disita sebanyak dua buah motosikal atas kesalahan mengubah suai ekzos, tiada lesen memandu dan tiada nombor pendaftaran di bawah Seksyen 64 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Ahmad Dzaffir merasmikan Op Selamat 24 Sempena Hari Raya Aidilfitri di Palaza Tol Nilai di sini, hari ini. – KOSMO! ONLINE