WASHINGTON – Sebuah buku berjudul Rebecca karya Daphne du Maurier dikembalikan 51 tahun selepas tarikh pinjamannya tamat, lapor portal berita United Press International (UPI) kelmarin.
Seorang pegawai Perpustakaan Perbandaran Enderlin, negeri Dakota Utara menulis di media sosial bahawa buku itu tiba baru-baru ini menerusi bungkusan mel.
Namun, bungkusan itu tidak mengandungi alamat si penghantar.
Menurutnya, buku tersebut sepatutnya dipulangkan pada 6 Oktober 1973.
“Bilangan sebenar hari ia lewat dihantar ialah 18,783 hari.
“Jika kami mengenakan caj penghantaran lewat standard bersamaan AS$0.10 sen (RM0.44) sehari, peminjam perlu membayar denda AS$1,878.30. (RM8,300),” kata pegawai perpustakaan itu.
Bagaimanapun, katanya, lembaga perpustakaan bersetuju untuk menghapuskan denda lewat pemulangan bulan lepas, menyebabkan peminjamnya tidak perlu membuat sebarang bayaran. – AGENSI