PETALING JAYA – Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) hari ini mengumumkan prestasi trafik penumpang udara Malaysia bagi Februari 2025 mencatatkan 8.7 juta pengguna penerbangan, iaitu peningkatan sebanyak 6.9 peratus tahun-ke-tahun.
Walaupun terdapat penurunan sebanyak 5.9 peratus bulan-ke-bulan dari Januari 2025 disebabkan permintaan perjalanan kembali normal selepas perayaan Tahun Baru Cina, permintaan keseluruhan kekal kukuh, didorong peningkatan kesalinghubungan, pengecualian visa, serta musim cuti sekolah yang masih berterusan.
Setakat tahun ini, sebanyak 17.9 juta pengguna penerbangan telah melalui lapangan terbang di Malaysia.
Mavcom meramalkan jumlah keseluruhan trafik penumpang udara bagi tahun 2025 berada dalam julat antara 105.8 juta hingga 112.9 juta, sekali gus mengukuhkan momentum berterusan dalam sektor penerbangan.
Pengerusi Eksekutif Mavcom, Datuk Seri Saripuddin Kasim berkata, prestasi trafik Februari mengukuhkan lagi kedudukan sektor penerbangan Malaysia dalam landasan pemulihan dan pertumbuhan yang mampan.
“Pengenalan laluan baharu serta inisiatif dasar seperti pengecualian visa terus memperkukuh kesalinghubungan penerbangan dan merancakkan pertumbuhan.
“Seiring dengan perubahan dalam permintaan perjalanan, kami kekal komited untuk memastikan pemulihan ini disertai dengan kualiti perkhidmatan yang baik, perlindungan pengguna penerbangan yang kukuh dan pemantauan kawal selia yang teguh bagi menyokong ekosistem penerbangan yang berdaya tahan dan bersedia untuk masa hadapan,” katanya dalam kenyataan. – KOSMO! ONLINE