PETALING JAYA – Polis masih belum menerima sebarang laporan berkenaan dakwaan sejumlah wang yang hilang di rumah usahawan dan pempengaruh, Abd. Ridzuan Abdul Mutalib atau Ridzuan Ridzokumura.
Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat.
“Setakat ini pihak polis tidak ada terima apa-apa laporan daripada individu tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Sebelum ini Ridzuan Ridzokumura menerusi siaran langsung di TikToknya memaklumkan wang berjumlah RM60,000 hingga RM70,000 milik arwah isterinya, Akiko Okumura didakwa lesap.
Katanya, wang itu diletakkan dalam sampul dan disimpan dalam beg tangan arwah isterinya sebelum disedari telah tiada.
“Duit yang hilang bukanlah sedikit, saya anggarkan RM60,000 sehingga RM70,000. Duit itu adalah lebihan balik bercuti dari Jepun pada Februari lalu.
“Masa itu saya dalam keadaan kehilangan (Akiko) jadi (baru-baru ini) baru nak periksa apa yang patut, dua tiga hari lepas barulah saya perasan.
“Sampai hati, duit orang meninggal pun nak ambil. Bukan orang luar, orang sekeliling juga sebab yang datang (ke rumah) ketika itu pun kawan-kawan terdekat, polis, forensik dan sebagainya,” katanya.
Akiko dilaporkan meninggal dunia dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di Subang Jaya. – KOSMO! ONLINE