PETALING JAYA – Antara golongan yang boleh meninggalkan puasa dan kemudian digantikan balik adalah golongan buruh atau pekerja yang mempunyai tugas serta bebanan yang berat dan memenatkan.
Namun begitu, jelas penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus, golongan itu juga mempunyai syarat terlebih dahulu dan bukannya terus tidak berpuasa.
“Memang orang yang bekerja berat boleh untuk berbuka tetapi dia kena dengan bermula puasa dahulu, bukan terus tak puasa. Ini kira isytihar kerja berat, pagi-pagi lagi dah tak puasa, itu tidak boleh.
“Sampai masa ketika dia puasa kerja itu tak boleh berhenti, kena siapkan juga sebelum raya tidak boleh berhenti, jika berhenti akan memudaratkan dia. Itu baru boleh berbuka, bukan awal pagi lagi dah tak puasa,” jelas beliau dalam satu siri soal jawab agama baru-baru ini.
Tambah Azhar, apa yang kita lihat sekarang berbeza, ada yang bawa lori tu katanya, turun rumah sudah tidak berpuasa. Bukan tidak puasa kerana tidak larat yang sebenarnya.
“Bukan tak boleh berbuka tapi dia ada cara dan syarat, ulamak feqah dah bagitau, jika tidak larat dan akan memudaratkan diri maka boleh la berbuka.
“Mula dengan puasa dulu, selepas beberapa jam buat kerja dan tidak larat maka boleh berbuka, bukan dengan terus tidak berpuasa,” katanya. – KOSMO! ONLINE.