PASIR MAS – Seorang penoreh getah akan menggunakan sebaiknya pencen penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) arwah isteri untuk membesarkan seorang anak tunggal.
Azizi Hamat, 44, yang ketika ini tidak dapat bekerja berat kerana menghadapi masalah tulang belakang bersyukur apabila memperoleh manfaat itu meskipun kehilangan isteri, Siti Rohamiza Abdullah,43.
Menurut Azizi, isterinya yang sebelum ini merupakan penjawat awam yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Jabatan Tenaga Kerja Kelantan meninggal dunia tiga bulan lalu akibat kanser ovari.
“Pencen penakat sebanyak RM300 sebulan itu sangat bermakna dan akan digunakan untuk urusan persekolahan anak tunggal kami, Nur Husna Umairah, 9.
“Selain pencen penakat, saya juga menerima Faedah Pengurusan Mayat Perkeso sebanyak RM3,000. Saya tidak membuat persiapan menyambut Aidilfitri kerana isteri baru tiga bulan meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pada Penyampaian Faedah Kepada Duda Suri Rumah Berinsurans di Kampung Laka, Chetok di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Kelantan, Nora Yaacob berkata, pencen penakat sebanyak RM300 sebulan itu diterima oleh Azizi sehingga berusia 55 tahun manakala anaknya berusia 21 tahun.
“Arwah mencarum melalui Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kementerian Sumber Manusia di bawah Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah yang terbuka kepada semua wanita berusia 54 tahun ke bawah tidak mengira status pekerjaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE