KLUANG – Semalam tular video rakaman televisyen litar tertutup beberapa remaja bersikap biadap mengganggu jemaah dengan menarik kaki seorang lelaki ketika solat di sebuah masjid.
Hari ini pula tular sebuah klip video seorang remaja lelaki disyaki tidak berpuasa makan dan minum di dalam sebuah surau dipercayai berlaku di Surau Kampung Baru, Jalan Paloh, Kluang.
Dalam rakaman video berdurasi satu minit 28 saat itu turut menunjukkan beberapa remaja bergurau dengan mengunci pintu surau serta menyembur air ke arah rakannya yang berada di sebelah dalam surau dengan menggunakan paip air.
Rata-rata pengguna laman sosial melahirkan rasa kecewa dengan tindakan remaja terbabit.
Rahmat Tolijan menulis dia sangat kecewa dengan perangai budak tersebut.
“Kurang ajar atau biadap macam-macam hal sudah budak buat dekat masjid atau surau. Harap ibu bapa atau pihak berwajib segera menangani masalah tersebut,”katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman berkata, ahli jawatankuasa (AJK) surau perlu membuat laporan polis agar tindakan tegas dapat diambil.
“Sekurang-kurang kita tahu anak siapa sebenarnya yang bercakap kesat, nak juga kita dengar gelak ketawa mereka itu,”tulisnya.
Hannah Azarinana turut menyoal anak siapa yang biadap.
“Elok ditampir kiri kanan baru serah dekat balai, kadang ibu bapa dah ajar elok tapi itulah bercampur dengan budak level-level biadap terjebak jadi biadap.
“Selain kebodohan, biadap ini sejenis yang berjangkit juga,”katanya.-KOSMO! ONLINE