PETALING JAYA – Setelah bertahun-tahun mengunci mulut mengenai kisah putus tunang dengan penyanyi Sufian Suhaimi, pelakon Elfira Loy mendedahkan detik tersebut merupakan pengalaman paling pahit dalam hidupnya.
Sepanjang waktu berduka, Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, memilih untuk berdiam diri kerana tidak mahu perkara tersebut terus menjadi buah mulut ramai.
“Saya rasa saya seorang yang kuat sebab dah melalui fasa ibu bapa berpisah dan besarkan adik-beradik sejak berusia 12 tahun. Itu momen terberat.
“Rupanya, benda paling berat apabila saya putus tunang. Saya tidak pernah cerita kepada sesiapa dan akan diam walaupun wartawan bertanya.
“Kalau saya cakap atau tak benda tersebut pasti akan jadi salah atau betul. Dia akan jadi lebih besar,” katanya sambil menitiskan air mata.
Lebih teruk, pelakon drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu memaklumkan bahawa dia sering menjadi bahan gelak tawa orang sekeliling setiap kali keluar rumah.
“Ketika itu, saya pergi mana-mana orang akan buat lawak dan ejek saya. Orang ingat saya okey, tetapi sebenarnya tidak. Saya pergi pusat membeli-belah, orang gelak-gelak dan menyanyi lagu (Sufian).
“Selama jadi pelakon, saya tidak pernah ada gosip tetapi disebabkan perkara lain, orang hilang rasa hormat kepada saya,” kongsinya dalam sebuah audio siar.
Bagaimanapun, Elfira bersyukur kerana momen sedih tersebut menjadi asbab dia lebih dekat dengan Allah dan menghabiskan masa di masjid.
“Namun yang seronoknya ada hikmah disebalik apa yang terjadi. Saya tiada tempat nak pergi, jadi saya habiskan masa di masjid.
“Itu turning point (titik permulaan) dalam hidup saya. Ketika itu, saya tak bercakap kepada sesiapa termasuk ibu saya kerana dia marah saya tak pertahankan diri.
“Saya tahu tiada siapa nak pertahankan saya jadi saya bercakap dengan-Nya (Allah). Perjalanan hidup selepas itu, Allah bagi apa saya nak,” jelasnya.
Pada tahun 2018, Elfira dan Sufian putus tunang selepas beberapa bulan mengikat tali pertunangan.
Setahun kemudian, Elfira mendirikan rumah tangga dengan Faris Khairol Anwar dan memiliki sepasang cahaya mata bernama Muhammad Rayyan Khalaf, 4, dan Nur Aria Mikayla, 3. – KOSMO! ONLINE