KUALA TERENGGANU – Keperitan seniman jalanan atau buskers Terengganu yang kehilangan mata pencarian berikutan larangan membuat persembahan di negeri ini pada 10 malam terakhir Ramadan sedikit terubat apabila menerima menerima sumbangan daripada kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kesemua 30 buskers aktif dikenalpasti tersebut masing-masing menerima sumbangan RM600.
Beliau berkata, sumbangan itu bertujuan meringankan sedikit beban kewangan golongan terbabit membuat persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Selesai menyampaikan sumbangan kewangan RM600 setiap seorang kepada 30 penggiat buskers.
“Semoga dapat dimanfaatkan sebagai persediaan menyambut Aidilfitri. Kerajaan negeri tidak akan sekali-kali menzalimi atau menganiaya rakyat,” katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut di sini hari ini.
Kosmo! 23 Mac lalu melaporkan anggota Persatuan Buskers Terengganu terkilan dengan keputusan mengejut kerajaan negeri melarang sebarang aktiviti persembahan jalanan atau busking pada 10 malam terakhir Ramadan berkuatkuasa 20 Mac lalu.
Setiausaha Agung Persatuan Buskers Terengganu, Mohd. Fazli A. Rahman berkata, rata-rata mereka tersentak kehilangan mata pencarian sekelip mata apabila larangan tersebut dikeluarkan kerajaan negeri tanpa sebarang notis.
Wan Sukairi berkata, kerajaan negeri Terengganu meraikan luahan ketidakpuasan hati buskers tempatan terbabit sebelum ini berikutan keputusan mengarahkan persembahan busking dihentikan pada 10 malam terakhir Ramadan.
Beliau berkata, kerajaan negeri Terengganu mengutamakan kemaslahatan umum meskipun keputusan itu menjadi sasaran kritikan keras. – KOSMO! ONLINE