fbpx

Jenazah anak sampai pada hari lahir saya – Bapa Prebet Muqriz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aseri dan isteri, Nor Azlina Zambri, ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Puchong Perdana, hari ini.

PETALING JAYA – “Jenazah sampai pada hari lahir saya,” luah Aseri Ismail.

Aseri, 49, merupakan bapa kepada Prebet Muhammad Muqriz Aseri, 21, anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang meninggal dunia dipercayai mengalami kecederaan dalaman selepas didera anggota senior di kem di Miri, Isnin lalu.

Aseri berkata, dia tidak menyangka dirinya akan menyambut jenazah Allahyarham anaknya pada hari istimewa yang sering disambut seiisi keluarga pada setiap tahun.

Ujar Aseri, ketika Muhammad Muqriz atau mesra disapa Angah pulang bercuti selama 10 hari lalu, mereka sempat meluangkan masa bersama-sama menyambut ulang tahun kelahirannya lebih awal dari tarikh sepatutnya.

“Kebetulan semua ada ketika itu berkumpul, Umi dia kata, sambutlah sekali ulang tahun kelahiran saya dan Angah pun gembira nak sambut lebih awal.

“Tak sangka itu kali terakhir kami menyambut hari istimewa saya bersama-sama.

“Kebetulan pula hari jenazah sampai ke Semenanjung betul-betul jatuh pada hari ulang tahun kelahiran saya.,” katanya ketika ditemui Kosmo! di kediaman mereka yang terletak di Taman Puchong Perdana, di sini, hari ini.

Aseri berkata, selepas dimaklumkan tentang kematian anaknya, seluruh keluarga berasa resah dan hanya mampu menunggu perkhabaran untuk jenazah Muhammad Muqriz diterbangkan semula ke Semenanjung.

Kata Aseri, disebabkan prosedur bedah siasat yang lama serta pelbagai proses lain yang perlu dilalui telah menyebabkan Muhammad Muqriz dapat diterbangkan dua hari selepas kejadian iaitu pada hari ulang tahun kelahirannya.

Menyifatkan Muhammad Muqriz sebagai anak yang baik dan manja, Aseri berkata Allahyarham tidak pernah menyusahkan malah sering berdikari untuk mendapatkan sesuatu.

“Sebenarnya, Arwah lebih manja dengan Umi dia. Kalau dengan saya, apa-apa dia minta nak makan, saya mesti masakkan.

“Angah juga memang minat sangat nak jadi askar, sampai pakaian pak ciknya yang juga bekas askar, katanya nak warisi dan pakai,” katanya.

Terdahulu, TDM dalam kenyataan memaklumkan, punca kematian Muhammad Muqriz adalah akibat trauma tumpul pada dada.

Menurut kenyataan itu, punca kematian Muhammad Muqriz, adalah berdasarkan laporan awal hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Miri kelmarin.

TDM juga memaklumkan siasatan awal yang dilaksanakan oleh pasukan berkenaan mendapati wujud unsur ‘manhandling’ yang dipercayai penyebab kematian Allahyarham.

Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, dua anggota Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) ditahan kerana disyaki terbabit dalam kes kematian prebet tersebut.

Kedua-dua prebet berusia 22 dan 24 tahun itu ditahan di Kem Sri Miri pada jam 4.30 petang kelmarin.

Beliau berkata, polis sudah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman kedua-dua suspek selama tujuh hari sehingga 2 April depan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI