PETALING JAYA – Aliran trafik menghala ke utara dan selatan Semenanjung dilaporkan mulai sesak ekoran pertambahan kenderaan perantau yang ingin pulang ke kampung sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Semakan Kosmo! pada paparan televisyen litar tertutup (CVTV) di laman web Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mendapati aliran trafik di Lebuh Raya Utara-Selatan di Bandar Saujana Putra menghala ke Putra Heights dan USJ ke Seafield sedikit perlahan setakat pukul 12.14 tengah hari.
Trafik juga bergerak perlahan selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala pusat bandar, manakala laluan ke selatan sesak di Setia Tropika ke susur Lebuh Raya Pasir Gudang selain Permatang Pauh ke Perai di utara.
Bagi laluan Pantai Timur, LLM melaporkan pergerakan kenderaan lancar di kedua-dua arah sepanjang Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak setakat pukul 12.20 tengah hari.
“Sila rancang perjalanan anda. Pastikan kenderaan anda diselenggara dan dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan,” kata LLM. – KOSMO! ONLINE