fbpx

‘Tahun lepas 21 jam balik Kota Bharu, tahun ini kelik awal’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN kenderaan yang mula memenuhi Lebuh Raya Karak menuju ke Pantai Timur untuk pulang berhari raya di kampung lebih awal.

PETALING JAYA – Golongan perantau dari Pantai Timur mengambil keputusan untuk pulang lebih awal iaitu pada hari ini bagi mengelakkan kesesakan teruk pada hari-hari terakhir sebelum sambutan Aidilfitri.

Seorang perantau, Muhammad Faris Aizuddin, 32, berkata, dia dan keluarganya memilih untuk pulang ke kampung halaman di Kuala Terengganu semalam selepas pernah terperangkap hampir 20 jam akibat kesesakan pada tahun lalu.

“Kami ambil cuti lebih awal supaya perjalanan lebih lancar. Kali ini kami belajar dari pengalaman. Lagipun, dapat juga luang masa berpuasa dengan keluarga di kampung sebelum sambut Aidilfitri,” katanya yang menetap di Shah Alam.

Menurut pegawai pemasaran digital itu, dia memang merancang untuk balik kampung lebih awal pada tahun ini termasuk mengumpul cuti tahunan.

“Isteri tidak bekerja dan anak-anak pula masih kecil berumur empat tahun serta dua tahun. Mudah untuk kami pulang awal sebab hanya saya yang perlu atur cuti kerja,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Firdaus Ghazali, 35, berkata, dia memilih untuk bertolak awal dari ibu kota ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan bagi mengelakkan perjalanan yang terlalu lama akibat kesesakan.

“Saya akan bertolak esok (pagi ini) ke Kelantan. Sebelum ini ada baca berita katanya trafik menghala ke Pantai Timur akan mula sesak bermula Jumaat, jadi sebagai langkah bijak, saya sudah mohon cuti lebih awal.

“Tahun lepas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu, saya ambil masa hampir 21 jam kerana bertolak sehari sebelum raya. Memang petang raya baru sampai Kelantan.

“Tahun ini saya dapat giliran balik raya lebih awal, Alhamdulillah dapat merasa suasana malam raya di kampung,” katanya.

Seorang lagi anak perantau, Wan Shuhada Wan Azizi, 27, berkongsi perasaan teruja untuk pulang beraya bersama keluarga setelah sekian lama berjauhan kerana tuntutan kerja.

“Saya sudah rindu dengan keluarga di kampung, terutama ibu bapa saya. Walaupun perjalanan dari Rawang, Selangor ke Bachok, Kelantan menempuh jarak lebih 430 kilometer (km), ia tidak mematahkan semangat saya untuk pulang menyambut Syawal,” katanya.

Pekerja swasta, Nurin Md. Kamazzudin, 28, pula berkata, dia dan keluarga akan pulang ke Pendang, Kedah esok selepas selesai urusan kerja.

Dia yang menetap di Cheras, Selangor berkata, meskipun tempoh tersebut adalah antara waktu puncak orang ramai pulang ke kampung, namun keadaan trafik menghala ke utara tidaklah seteruk laluan menuju ke Pantai Timur.

“Paling lama pun kalau sesak makan masa sekitar lapan hingga 10 jam.

“Selalu kawan-kawan yang balik ke Kelantan dan Terengganu, mereka memang seharian di atas jalan. Kalau mahu selesa dan lancar, kena bertolak lebih awal,” katanya.

Dalam pada itu, keadaan trafik di lebuh raya utama dijangka mengalami peningkatan susulan pertambahan kenderaan perantau yang ingin pulang menyambut Hari Raya Aidilfitri bermula hari ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI