PETALING JAYA – PolicyStreet, syarikat insurtech terkemuka Malaysia, telah melancarkan Pelan Perlindungan Perabot (FPP) dengan kerjasama Ashley Furniture HomeStore, di ibu negara semalam.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PolicyStreet, Yen Ming Lee, berkata, ia adalah pelan insurans mikro komprehensif dengan perlindungan pembaikan atau penggantian perabot yang rosak akibat kemalangan, kebakaran atau banjir serta menawarkan perlindungan sehingga satu tahun.
FPP juga disokong oleh platform tuntutan digital akan datang untuk perlindungan mudah. Ia tersedia secara eksklusif di Ashley Furniture HomeStores and Galleries di seluruh Malaysia, bermula dari hanya RM99 setahun.
“Ia meliputi cek waranti percuma, pemeriksaan pra-tuntutan dan baucar penghantaran, memberikan nilai yang luar biasa dan ketenangan fikiran,” katanya menerusi kenyataan.
Jika tuntutan dibuat katanya, pelanggan boleh memulakan proses dengan menghubungi Ashley Furniture HomeStore untuk penilaian menerusi portal yang akan dilancarkan Mei depan.
Bagi perabot yang diinsuranskan melebihi RM10,000, pelanggan akan menerima baucar eksklusif untuk perundingan reka bentuk dalaman, pembersihan perabot profesional, perkhidmatan kitar semula mesra alam dan pemasangan rumah pintar,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Fella, Yu Kong Cing, berkata, Ashley Furniture HomeStore sedia menyediakan pengalaman pelanggan premium yang melangkaui pembelian awal.
“Kepuasan pelanggan adalah terpenting dan perkongsian kami dengan PolicyStreet memastikan pelanggan kami menerima jaminan dan sokongan yang sepatutnya mereka perolehi selepas perabot mereka tiba di rumah.
“Sebagai sebahagian daripada Kumpulan Fella, kami sedang meneroka peluang memperluaskan faedah sama kepada pangkalan pelanggan kami yang lebih luas,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE