fbpx

Pimpinan tinggi TH bebas orang politik – Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Selangor ketika merasmikan Masjid Denai Alam, Shah Alam hari ini. - Foto oleh AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa syukur apabila Lembaga Tabung Haji (TH) kini diuruskan mereka yang profesional dan berpengalaman.

Baginda bertitah, ini berbeza berbanding sebelum ini yang diterajui golongan politik.

Sultan Sharafuddin menegaskan, kesan kepada perubahan pucuk pimpinannya dapat dilihat apabila prestasi TH secara beransur-ansur meningkat dari tahun ke tahun.

“Malah pada tahun ini, Lembaga TH mampu untuk memberi dividen terbaik dalam tempoh tujuh tahun kepada pendepositnya.

“Beta berharap pengurusan dan pimpinan tertingginya hendaklah terus bebas dari penglibatan orang politik,” titah baginda ketika merasmikan Masjid Denai Alam dan Ihya Ramadan Bersama Rakyat petang ini.

Sebelum ini, Lembaga TH mengagihkan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.25 peratus bagi tahun kewangan 2024, tertinggi dalam tempoh tujuh tahun.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah agihan bernilai RM2.92 bilion, berbanding RM2.72 bilion tahun sebelumnya.

Justeru, Sultan Sharafuddin berdoa agar Lembaga TH kekal sebagai sebuah institusi dan syarikat Islam yang berjaya dan dapat terus membantu umat Islam untuk mengerjakan haji dan umrah selain dapat memberikan pulangan dividen yang menguntungkan kepada para pendeposit.

Sultan Sharafuddin turut menasihatkan umat Islam agar bersifat amanah dan jujur susulan baginda masih mendengar laporan berkait isu integriti seperti kes kecurian dan penyelewengan termasuk duit tabung masjid, anak yatim dan kutipan zakat.

Malah di peringkat lebih besar, titah baginda berlakunya penipuan oleh syarikat-syarikat pelancongan tanpa lesen yang mengendalikan pakej -pakej haji dan umrah.

“Semua ini melibatkan duit milik orang Islam dan pelakunya kebanyakannya adalah dari kalangan orang Islam sendiri.

“Kenapa semua ini harus berlaku di dalam masyarakat Islam. Kenapa perlu diseleweng dan dicuri duit milik orang Islam ini? Tidakkah mereka ada sedikit perasaan simpati kepada mangsa yang ditipu,” tegas baginda.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin mahu gejala ajaran sesat dicegah dari awal selain pemantauan berterusan dilakukan terhadap kumpulan ajaran sesat yang telah diambil tindakan undang-undang.

Tegas baginda, ini bagi memastikan kumpulan itu tidak hidup dan bergerak semula seperti dilakukan oleh Al Arqam yang telah diharamkan kemudiannya bergerak di bawah nama Rufaqa’ dan akhirnya GISB Holdings (GISBH).

“Menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk merujuk kepada Mufti dan fatwa yang telah dikeluarkan selain laporan segera perlu dibuat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk tujuan penguatkuasaan.

“Ini termasuklah juga ajaran-ajaran sesat yang dilihat semakin bercambah sejak kebelakangan ini yang dilihat begitu mudah dapat mempengaruhi umat Islam untuk mempercayai fahaman sesat yang dibawa oleh kumpulan ini,” titahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI