KUALA TERENGGANU – Gara-gara menerima harta tebusan berupa wang tunai RM50,000 milik sebuah syarikat lapan tahun lalu, seorang tukang rumah dihukum penjara enam tahun di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memutuskan demikan selepas tertuduh, Suparman Aman, 46, membuat pengakuan bersalah setelah pertuduhan pilihan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menerima harta tebusan iaitu wang tunai RM50,000 milik sebuah syarikat dengan mengetahui harta itu adalah harta tebusan dan dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Kuala Akob, Hulu Terengganu, pukul 3 pagi, 24 Januari 2017.
Mengikut fakta kes, seorang wanita yang menunggang motosikal dalam perjalanan balik ke rumah selepas bersarapan di kedai berhampiran sebelum ditahan sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan dibawa ke beberapa lokasi.
Mangsa hanya dilepaskan dengan selamat setelah wang tebusan sebanyak RM400,000 dibayar majikannya pada pukul 1.30 pagi, 24 Januari 2017.
Pada 2 Julai 2020, tiga rakan tertuduh iaitu Mohd Zairol Nizan Md Nor, 40; Mohd Khairul Anuar Musa, 42 dan Abdul Hadi Abu Bakar, 25, dihukum penjara seumur hidup dan sebatan antara lima dan tujuh kerana menculik seorang wanita dengan meminta tebusan RM400,000. – KOSMO! ONLINE