fbpx

Isu kuil: Kerajaan tidak pernah janji pampasan RM2 juta, tuduhan tidak berasas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Zaliha

PETALING JAYA – Kerajaan tidak pernah menjanjikan atau meluluskan sebarang bentuk pampasan sebanyak RM2 juta kepada pihak Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman seperti yang digambarkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, dakwaan berhubung pampasan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas.

“Saya ingin memberikan penjelasan berhubung dakwaan tular di media sosial, khususnya menerusi hantaran oleh Saudara Firdaus Wong Wai Hung di laman Facebook beliau semalam, yang mendakwa dengan pertanyaan kononnya kerajaan memberikan pampasan berjumlah RM2 juta kepada Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

“Tiada sebarang perjanjian atau ‘deal’ lain dibuat selain daripada penyelesaian yang telah saya umumkan secara rasmi semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menegaskan, keputusan yang diambil adalah hasil perbincangan secara harmoni antara semua pihak yang terlibat dan bersifat menang-menang.

“Yang paling utama, pembinaan masjid yang tertangguh sejak tahun 2020 di atas tanah milik swasta tersebut dapat diteruskan seperti dirancang, manakala pihak kuil pula bersetuju berpindah ke lokasi alternatif yang dikenal pasti.

“Saya juga ingin menegaskan sekali lagi bahawa kes ini tidak boleh dijadikan sebagai rujukan (precedent case) untuk mana-mana kes lain pada masa akan datang.

“Ia adalah penyelesaian khusus kepada isu tersebut, yang ditangani dengan penuh hikmah, mengikut lunas undang-undang dan mempertimbangkan sensitiviti pelbagai pihak,” katanya.

Dr. Zaliha berkata, beliau menggesa agar semua pihak menghentikan polemik yang tidak berfaedah ini.

“Janganlah kita mengapi-apikan sentimen agama atau perkauman berdasarkan maklumat tidak sahih, kerana ia boleh menggugat keharmonian dan perpaduan yang kita bina bersama,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, isu tapak penempatan Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman yang terletak di sebahagian kecil tanah milik swasta berhampiran Jalan Masjid India, Kuala Lumpur berjaya diselesaikan secara harmoni selepas rundingan bersama pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil.

Dr. Zaliha dipetik berkata, penyelesaian ini adalah khusus untuk kes tersebut dan tidak boleh dijadikan rujukan bagi rumah ibadat lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI