PETALING JAYA – NexG Berhad meneruskan komitmennya terhadap inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyalurkan sumbangan zakat korporat berjumlah RM1,008,085.00 dalam majlis Ramadan Madani MAIWP: Majlis Iftar Bersama Asnaf 2025 baru-baru ini.
Penyerahan rasmi zakat korporat berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif NexG CSA Sdn Bhd, Datuk Syahril Abdullah pada majlis anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Mohd Na’im Mokhtar.
Mengulas lanjut mengenai penyerahan zakat tersebut, Syahril menerangkan, misi syarikat bukan sekadar memastikan kejayaan dalam mendapatkan dan
menguruskan projek berkaitan kerajaan tetapi melalui impak yang diberikan kepada masyarakat.
“Zakat korporat bukan sekadar sumbangan kewangan, tetapi satu kewajipan yang selari dengan nilai teras kami iaitu integriti, tanggungjawab dan kemampanan.
“Melalui kerjasama dengan MAIWP,kami mahu melangkaui operasi perniagaan dan memberi manfaat yang lebih besar kepada golongan memerlukan.
“Seiring dengan pertumbuhan syarikat, NexG akan terus mengintegrasikan
tanggungjawab sosial korporat dalam strateginya bagi memastikan kemajuan kami turut dinikmati oleh pemegang taruh dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini. -KOSMO! ONLINE