GERIK – Sebanyak 139 ekor kambing dan 23 ekor biri-biri tanpa permit pemindahan yang disyaki untuk dipasarkan sempena perayaan Aidilfitri dirampas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) di Jalan Sumpitan dekat sini pada pukul 2.30 pagi tadi.
Timbalan Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Ternakan JPV Negeri, Dr. Zulkifli Ahmad berkata, rampasan melibatkan lori lima tan yang digunakan bagi tujuan pemindahan dari Kulim, Kedah ke Tapah itu dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa JPV negeri.
“Ketika pemeriksaan dijalankan, kambing tersebut didapati ditempatkan di bahagian belakang lori dan bertutup rapat dengan kanvas.
“Anggota penguat kuasa JPV menahan lori tersebut selepas mendapati kenderaan motor lori berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal terhadap pemandu dan kelindan lori berusia 30-an yang ditahan itu mendapati kesemua kambing berkenaan akan dijual di pasaran tempatan sempena Hari Raya Aidilfitri akan datang.
“Harga keseluruhan kambing yang dirampas itu dianggarkan kira-kira RM209,600,” katanya yang turut memberitahu kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953 Perintah Menteri Besar dan Perintah Kawasan Kawalan Penyakit Kuku Dan Mulut Negeri Perak 2008.
Zulkifli berkata, kambing yang dipindahkan tanpa kebenaran serta tanpa pemeriksaan itu sekali gus mendatangkan risiko penyakit bawaan haiwan kepada pengguna. – KOSMO! ONLINE