PEMAIN warisan, Hector Hevel sangat teruja membuat debut antarabangsa dengan menyarung jersi Harimau Malaya ketika menewaskan Nepal 2-0 pada aksi pembukaan pusingan ketiga Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim kelmarin.
Lebih membanggakan, pemain berusia 28 tahun itu membuka akaun jaringan apabila meledak gol pertama perlawanan ketika membantu pasukan meraih kemenangan pertama.
Bagaimanapun, dia merasa sedikit terkilan apabila jaringan sulungnya bersama Harimau Malaya itu ‘hilang’ dalam rakaman perlawanan ekoran masalah teknikal yang berlaku.
“Ya, memang sayang sekali (tiada rakaman) tetapi saya gembira dengan mata yang diperoleh serta prestasi yang ditunjukkan pasukan.
“Dalam sesi latihan, kami ditekankan untuk sentiasa berada dekat dengan lawan, memberi tekanan dan berada hampir dengan kotak penalti mereka, itu menjadi punca gol itu diperolehi.
“Terima kasih saya ucapkan kepada rakan sepasukan, staf kejurulatihan dan semua pihak yang membantu saya menyesuaikan diri dengan pasukan dalam tempoh yang singkat,” ujarnya.
Jeneral tengah kelahiran Belanda itu berkata, latihan intensif dan komunikasi dalam kalangan pemain menjadi kunci membentuk keserasian dalam pasukan untuk mengharungi lebih banyak perlawanan.
“Secara peribadi, ini adalah salah satu hari terbaik dalam hidup saya. Bermain untuk negara adalah sesuatu yang sangat istimewa,” ujarnya.
Ditanya mengenai peluang Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia, pemain yang mewakili kelab Portugal, Portimonense itu berkata, peluang tersebut cerah sekiranya pasukan mengekalkan rentak kemenangan.
“Jika kami terus meningkatkan prestasi seperti ini, ia adalah permulaan yang baik. Tetapi laluan Malaysia pasti berliku kerana akan ada lawan yang sukar dan perlawanan yang mencabar.
“Kami ada peluang jika terus bekerja keras dan percaya dengan apa yang kami lakukan,” ujarnya.