HANOI – Seorang lelaki di wilayah Vinh Phuc, Vietnam didenda 29 juta dong (RM5,018) kerana membenarkan anak perempuannya yang berusia enam tahun memandu kereta, lapor portal berita VNExpress semalam.
Rakaman dimuat naik di media sosial memaparkan kanak-kanak itu memandu kereta pada kelajuan kira-kira 40 kilometer sejam di jalan raya dekat daerah Binh Xuyen.
Lebih mengejutkan, si bapa sempat memberikan kata-kata semangat kepada anaknya dari tempat duduk belakang.
Klip video tersebut menjadi tular sehingga dilihat oleh polis trafik tempatan.
“Semasa disoal siasat, lelaki itu mengaku membenarkan anak perempuannya yang masih kecil untuk memandu.
“Dia bertindak demikian untuk memanjakan anaknya selepas tidak pulang ke rumah dalam tempoh yang lama,” tambah polis trafik. – AGENSI