SABAK BERNAM – Dua beranak ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi dalam mangkuk tandas di sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani di sini, Ahad lalu.
Kedua-dua suspek wanita tempatan berusia 18 dan 41 tahun itu diberkas di sekitar Meru, Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Md. Yusof Ahmad berkata, penahanan pertama melibatkan seorang wanita berusia 41 tahun di kawasan sebuah kilang, kira-kira pukul 6.15 petang.
Katanya, siasatan seterusnya membawa penahanan seorang lagi suspek berusia 18 tahun, kira-kira pukul 8.30 malam.
“Suspek remaja itu merupakan pekerja restoran makanan segera dan hubungan mereka adalah ibu serta anak.
“Kita turut merampas sebuah kereta Perodua Bezza, telefon bimbit dan pakaian,” katanya hari ini.
Menurut beliau, dua beranak itu direman selama empat hari sehingga 29 Mac ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Tambah Md. Yusof, bayi itu berjantina lelaki dan siasatan menyeluruh masih dijalankan dengan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Aimi lyana Mohd. Khairani di talian 018-2510452 atau balai polis berdekatan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan penemuan mayat bayi yang terlangkup dalam mangkuk tandas wanita sebuah stesen minyak di Sungai Haji Dorani. – KOSMO! ONLINE