fbpx

Bantuan Sara diperluas kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Kerajaan memperluaskan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) kepada 5.4 juta penerima bermula 1 April ini iaitu peningkatan hampir lapan kali ganda berbanding 700,000 penerima sedia ada.

Penerima yang layak akan menerima bantuan sehingga RM2,100 secara keseluruhan pada tahun ini, berbanding RM1,200 pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 75 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif Sara merupakan pendekatan bantuan secara bersasar di mana sebahagian pertambahan hasil negara serta penjimatan daripada perbelanjaan subsidi diagihkan semula bagi membantu mereka yang benar-benar memerlukan.

“Penyaluran Sara melalui MyKad juga bersasar kerana kaedah tersebut memastikan golongan sasar menerima manfaatnya dalam bentuk barangan asas.

“Peluasan penerima merupakan sebahagian daripada peningkatan peruntukan program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sara kepada RM13 bilion pada tahun 2025, iaitu jumlah tertinggi dalam sejarah penyaluran bantuan tunai kerajaan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bantuan ini akan dikreditkan secara bulanan ke MyKad penerima di seluruh negara, termasuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut Kementerian Kewangan (MOF), Jumlah 5.4 juta penerima ini adalah terdiri daripada 700,000 penerima Sara sedia ada di dalam rekod eKasih yang telah menerima bantuan sejak Januari lalu.

Mulai 1 April ini, mereka akan menerima bantuan tambahan Sara sebanyak RM50 sebulan untuk golongan warga emas tiada pasangan dan RM100 sebulan untuk isi rumah.

Sejumlah 4.7 juta penerima STR sedia ada adalah mereka yang tidak berada di dalam rekod eKasih.

Mulai tahun ini, penyaluran Sara melalui penggunaan MyKad akan diperluaskan ke negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berbanding hanya di negeri negeri Semenanjung Malaysia pada tahun 2024.

“Kaedah pelaksanaan yang seragam ini adalah penambahbaikan daripada tahun lalu, berbanding penyaluran bantuan secara tunai dua kali setahun kepada penerima Sara yang bermastautin di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Di bawah program Sara, pemanfaat boleh membeli barangan keperluan asas terpilih dengan menggunakan MyKad di kedai-kedai runcit berdaftar yang kini berjumlah lebih 3,500 buah di seluruh negara, berbanding 700 buah pada tahun 2024,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI