KANGAR – Dua lelaki termasuk seorang buruh binaan dan pemotong rumput direman tiga hari bagi membantu siasatan kes kecurian kira-kira 150 biji buah mangga harum manis di sebuah kebun di Kampung Behor Mempelam, Arau, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, kedua-dua suspek ditahan pada kira-kira pukul 5 petang semalam di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.
“Kedua-dua lelaki Melayu berusia 31 dan 34 tahun itu direman selama tiga hari bermula hari ini hingga 28 Mac 2025 untuk siasatan lanjut.
“Seorang suspek bekerja sebagai buruh binaan dan mempunyai lapan rekod lampau manakala seorang lagi suspek bekerja sebagai pemotong rumput dengan enam rekod lampau,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ahmad Mohsin, laporan polis mengenai kehilangan buah mangga itu dibuat seorang lelaki berusia 55 tahun yang juga pemilik kebun berkenaan pada 20 Mac lalu.
Katanya, kejadian disedari pada pukul 7 malam, 19 Mac lalu ketika pengadu tiba di kebun dan mendapati pagar besi di bahagian belakang telah dipotong bebertuk bulat manakala kertas pembalut buah berselerak.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kira-kira 150 biji buah harum manis telah dicuri dengan anggaran kerugian sebanyak RM1,000. Suspek dipercayai memotong pagar menggunakan alat pemotong dawai dan membawa keluar buah menggunakan kenderaan yang belum dikenal pasti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE