SIK – “Dua hari lepas, Intan bersungguh-sungguh buat persiapan, dia beli baju dan biskut raya termasuk untuk ahli keluarga. Tidak sangka dia pergi dahulu sebelum sempat beraya bersama”
Demikian kata Rokiah Shaari, 66, nenek kepada Allahyarham Intan Suraya Zaidi, 24, yang terkorban dalam nahas di Jalan Kampung Merbau Kudung ke Teloi Timur, di sini petang semalam.
Turut maut dalam kemalangan membabitkan kereta Perodua Myvi dan lori 10 tan muatan batu itu adalah suami Intan Suraya, Lokman Hakim Mohd. Shukri, 23.
Kata Rokiah, dia tidak menyangka kata-kata cucunya itu untuk menghabiskan wang untuk raya kali ini menjadi petanda dia akan pergi selama-lamanya.
“Intan beritahu dia nak habiskan duitnya dengan membeli segala kelengkapan raya seperti baju, kuih dan duit raya untuk semua ahli keluarga.
“Dia sibuk beli semua itu untuk ibu bapa, dua adiknya, datuk dan nenek serta anak angkatnya,” katanya ketika ditemui di perkarangan Surau Kampung Charuk Pelanduk, di sini hari ini.
Menurutnya, Intan yang mendirikan rumah tangga pada Jun tahun lalubaru sahaja mengambil anak angkat, Shazwani Abdul Rahman, 12.
“Shazwani merupakan anak yatim piatu setelah kematian ibunya ketika Covid-19 dahulu yang dipeliharanya sejak sesi pembukaan sekolah baru-baru ini.
“Cucu saya beli tiga pasang baju raya yang mana semasa sesi bergambar untuk hari raya semalam temanya merah hitam, manakala baju berwarna hijau dan biru akan dipakai ketika hari raya nanti.
“Selepas sesi bergambar mereka terus ke Kulim dan kemalangan berlaku ketika mereka sudah hampir sampai ke rumah iaitu kira-kira satu kilometer sahaja lagi,” jelasnya.
Jenazahnya pasangan suami isteri itu dikebumikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Charuk Pelanduk, di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi. – KOSMO! ONLINE